Kategori
Berita

Sarawak Akan Menjadi Negeri Pertama Laksana Pemberian Dos Penggalak Bulan Depan

KUCHING, 26 Sept – Sarawak akan menjadi negeri pertama melaksanakan pemberian suntikan dos penggalak bermula Oktober depan dengan menyasarkan golongan berisiko tinggi yang telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pemilihan Sarawak sebagai negeri pertama menerima dos penggalak itu berikutan ia bakal menjadi negeri pertama yang berjaya menyelesaikan Progran Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) apabila 89.3 peratus daripada populasi dewasanya telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19, setakat Sabtu.

“Sarawak akan menjadi antara negeri yang mulakan dos penggalak pada Oktober nanti, kita akan beri fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun keatas dan mempunyai komobiliti serius.

“Kita dapati inilah kumpulan yang sedang mengalami gejala serius di hospital dan perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kemungkinan meninggal dunia.

“Kita akan mulakan Oktober ini sebaik sahaja garis panduan klinikal untuk dos penggalak siap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini, pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan dos penggalak itu akan diberikan kepada mereka yang berusia bawah 60 tahun dan sihat di masa akan datang.

“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa mereka yang berusia bawah 60 tahun dan sihat boleh nanti diberikan dos penggalak tetapi fokus kita pada ketika ini adalah golongan berisiko tinggi yang lebih cenderung dimasukkan ke ICU dan meninggal.

“Di negara-negara lain juga amalannya sama, (dos penggalak) diberikan kepada warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi yang serius. Untuk keseluruhan populasi tak banyak negara yang luluskan atau tidak ada,” katanya. – SHARE RANGERS

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen