Categories
Berita

Vaksinasi Remaja Di Kelantan Bermula Minggu Depan

KOTA BHARU, 15 Sept – Pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun di negeri Kelantan akan dimulakan minggu hadapan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin berkata, suntikan itu bertujuan untuk meningkatkan tahap imunisasi kelompok remaja sekaligus menjayakan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Jika tiada halangan, kita akan teruskan dengan vaksinasi kepada remaja pada minggu hadapan.

“Suntikan ini akan diberikan berpandu kepada data pelajar yang dibekalkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

“Ia termasuk data yang melibatkan pelajar di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan institusi pendidikan swasta di seluruh negeri ini,” katanya kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menerima 14 mesin ‘Oxygen Concentrator’ sumbangan daripada Firma Guaman Afiq & Co di lobi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Dalam masa yang sama, Dr Zaini berkata, suntikan kepada golongan remaja itu akan diberikan menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah diwujudkan kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, pemberian vaksin itu dilihat sebagai tindakan tepat dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19 dalam kalangan remaja di negara ini sekaligus membolehkan mereka kembali ke sekolah dengan selamat.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan PICK akan memulakan vaksinasi mengikut keutamaan iaitu remaja (12 hingga 17 tahun) yang mempunyai masalah penyakit kronik diikuti individu remaja (12 hingga 17 tahun) tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur.

Kaedah tersebut dilaksanakan mengikut saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV). – SINAR HARIAN

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading