PUTRAJAYA, 9 Sept – Pemberian vaksin kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan dilakukan seiring dengan pembukaan semula sekolah.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali akan dilantik bagi memikul tanggungjawab sebagai penyelaras program vaksinasi untuk remaja.
“Kita sudah bentangkan perancangan vaksinasi kepada remaja ini semasa sesi mesyuarat dengan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin tengah hari tadi.
“Apa yang kita setuju adalah, serentak dengan proses pembukaan sekolah, kita akan pergiatkan proses pemberian vaksin kepada remaja. Sama ada ia dapat diselesaikan sebelum pengumuman pembukaan sekolah atau tidak, namun jika tidak sempat kita akan tetap meneruskan proses itu.
“Pelbagai kaedah pemberian vaksin dibentangkan dan paling mudah kita berpendapat pelajar ini akan diberikan suntikan vaksin di sekolah,” katanya dalam sidang media, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemberian Vaksin COVID-19 Kepada Pelajar Sekolah Dimuktamad Khamis Ini – Khairy
ARTIKEL BERKAITAN: Vaksinasi Remaja Bawah 18 Tahun Di Sarawak Dijangka Bermula Rabu Ini
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja Bawah 18 Tahun Mula Divaksin Minggu Depan, Didahului Dengan Sarawak – Khairy
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini melalui hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung pembukaan semula sesi persekolahan.
Menerusi hantaran itu, beliau turut memaklumkan tentang pelan komprehensif berkaitan pengoperasian sekolah yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menurutnya lagi, mesyuarat itu turut dihadiri oleh kumpulan pakar, antara lain bagi mendapatkan pandangan untuk diperhalusi bagi memastikan murid dapat hadir ke sekolah dalam keadaan yang selamat.
Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya yakin akan terus bekerjasama rapat dengan KPM serta terdapat beberapa kaedah model pelaksanaan vaksinasi turut dibentang semasa sesi mesyuarat berkenaan.
“Namun yang paling mudah kita fikirkan, bila mereka (pelajar) pergi ke sekolah, kita akan berikan vaksin. Kebanyakan pelajar akan menerima suntikan vaksinasi di sekolah,” katanya. – SHARE RANGERS
