AUSTRALIA dan Belanda dilaporkan telah melancarkan tindakan undang-undang terhadap Rusia berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.
Kedua-dua negara melancarkan prosiding dalam Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, dengan menamakan Rusia sebagai pihak yang bertanggungjawab atas insiden itu di bawah undang-undang antarabangsa.
Pesawat itu ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, membunuh kesemua 298 orang di dalam kapal, termasuk 38 warga Australia.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkata tindakan undang-undang itu merupakan satu langkah besar ke hadapan dalam kebenaran dan akauntabiliti untuk tindakan keganasan yang ‘mengerikan’.
“Keengganan Persekutuan Rusia untuk bertanggungjawab terhadap tindakannya yang menjatuhkan Penerbangan MH17 adalah tidak boleh diterima dan kerajaan Australia sentiasa menegaskan bahawa ia tidak akan mengecualikan sebarang pilihan undang-undang dalam usaha mencari keadilan kami,” kata Morrison dalam satu kenyataan.
Tindakan undang-undang yang dijalankan oleh kedua-dua negara itu akan ditambah dengan pendakwaan Belanda terhadap empat suspek berhubung penglibatan mereka secara individu dalam insiden itu.
Australia dan Belanda akan bergantung kepada bukti ‘luar biasa’ bahawa penerbangan itu telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu milik Rusia di timur Ukraine, kawasan yang berada di bawah kawalan pemisah yang disokong Rusia.
Peluru berpandu itu milik briged tentera anti-pesawat Rusia ke-53, dan diiringi oleh kru tentera Rusia yang terlatih.
Kedua-dua negara berkata bukti menunjukkan peluru berpandu itu hanya boleh dilepaskan oleh kru Rusia yang terlatih, dengan sistem peluru berpandu kemudiannya kembali ke Rusia sejurus selepas insiden itu.
Tindakan undang-undang ke atas MH17 dibuat ketika beberapa negara barat telah mengenakan pelbagai sekatan yang melumpuhkan terhadap Rusia atas pencerobohan mereka ke atas Ukraine.
“Pencerobohan tanpa provokasi dan tidak wajar Rusia ke atas Ukraine dan peningkatan pencerobohannya menggariskan keperluan untuk meneruskan usaha berterusan kami bagi meminta Rusia bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB secara terang-terangan,” katanya.
Rusia menarik diri daripada rundingan dengan Australia dan Belanda pada Oktober 2020 mengenai MH17.
Rusia difahamkan tidak kembali ke meja rundingan, meski permintaan berulang kali dilakukan oleh Australia dan Belanda.
Morrison berkata, usaha undang-undang itu akan membantu memberikan keadilan kepada keluarga mangsa.
“Walaupun kita tidak boleh menghilangkan kesedihan mereka yang kehilangan orang tersayang akibat tindakan Rusia, kerajaan Australia akan meneruskan setiap jalan yang ada untuk memastikan Rusia dipertanggungjawabkan supaya perbuatan terkutuk ini tidak berulang lagi,” katanya. – AGENSI
