KUALA TERENGGANU, 10 Jan – Polis Terengganu berjaya membongkarkan kegiatan seorang doktor yang menjual sijil digital vaksinasi dipercayai palsu kepada individu yang tidak mahu disuntik vaksin COVID-19 selepas ditahan sepasukan polis pada Sabtu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tangkapan terhadap seorang doktor lelaki berusia 51 tahun di sebuah klinik swasta di Marang itu dilakukan sejurus menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, klinik swasta itu mendapat kebenaran memberi suntikan vaksin COVID-19 secara berbayar sejak September lalu dan dalam tempoh empat bulan, seramai 1,900 individu telah mendapat sijil vaksinasi COVID-19 daripada doktor berkenaan.
“Bagaimanapun, tidak semua sijil vaksin itu palsu dan kita sedang menyiasat berapa individu yang benar-benar menerima suntikan dan tidak disuntik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Isnin.
Rohaimi berkata, klinik swasta itu menawarkan perkhidmatan suntikan vaksin COVID-19 secara berbayar kepada orang ramai dengan bayaran antara RM400 hingga RM600 namun bagi mereka yang tidak mahu disuntik, sijil vaksin tetap akan dikeluarkan.
Menurutnya, penjualan sijil vaksinasi palsu itu dipromosikan dan dijalankan secara dalam talian kepada golongan antivaksin dan beberapa ejen turut diupah dengan bayaran RM50 bagi setiap pelanggan yang membeli sijil tersebut.
“Kita dapati, ada pelanggan yang datang dari Kedah, Johor dan Kuala Lumpur.
“Doktor yang sudah mengendalikan klinik selama 20 tahun itu juga mengaku sebagai antivaksin namun sudah menerima suntikan kerana terpaksa berikutan profesion beliau sebagai pegawai perubatan,” katanya.
Jelasnya, beberapa barangan dan dokumen penting seperti telefon bimbit, komputer riba, kad vaksinasi dan borang kebenaran pengambilan suntikan vaksin turut dirampas bagi membolehkan siasatan dilakukan.
“Doktor itu kini direman selama tiga hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Kita turut menahan enam individu lain bagi membantu siasatan namun kesemua mereka sudah dibebaskan,” katanya lagi. – SINAR HARIAN
