Kategori
Berita

Pelancong Ke Langkawi Bermula 16 September Wajib Jalani Ujian Saringan COVID-19 – Khairy

PELANCONG-pelancong yang ingin bercuti ke Pulau Langkawi, Kedah bermula esok, 16 September, diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ujian pengesanan itu perlu dilakukan kepada semua individu dewasa (18 tahun ke atas) dan remaja, kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun.

Menurutnya, terdapat tiga cara yang boleh digunakan pelancong sebelum memasuki pulau peranginan tersebut:

  1. Menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Antigent) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas. Keputusan ujian hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk (lapangan terbang atau terminal feri) sebelum berlepas; atau
  2. Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan COVID19 di tempat saringan yang disediakan; atau
  3. Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ.

“Bagi kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

“Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif dan hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terlibat akan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas.

“Bagi mereka yang didapati negatif COVID-19, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif COVID-19, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana SOP pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat yang sedia ada,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan gelembung pelancongan itu tidak bermakna kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan. – SHARE RANGERS

Amirul Fahmi's avatar

Oleh Amirul Fahmi

( Verified Author ☑ ) Amirul Fahmi merupakan seorang penulis blog yang memulakan kariernya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Tinggalkan komen