KERAJAAN hari ini bersetuju untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif bermula 9 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran yang diberi itu dijangka akan memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif.
Menurutnya, persetujuan untuk memberi kelonggaran itu adalah tertakhluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Ini termasuklah kelonggaran itu hanya diberikan kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.
Tambahnya, kelonggaran itu tersebut diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri yang telah mencapai sasaran 80 peratus populasi dewasanya lengkap menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok.
“Industri kreatif menyumbang sebanyak 2 peratus atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.
“Selain membolehkan lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran ini juga dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Ia sekali gus menggerakkan kembali semua inisiatif serta program yang direncanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, katanya, semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap menerima dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN, seperti aktiviti-aktiviti yang berikut;
- Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.
- Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio.
- Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin.
- Indoor busking kepada individu yang telah lengkap vaksin.
- Persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin.
- Aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam.
- Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pradaftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis.
- Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara janji temu) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30 peratus di ruang premis.
Dalam masa yang sama, Ismail Sabri berkata, keputusan itu adalah antara usaha-usaha berterusan kerajaan yang prihatin bagi meransang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif.
“Saya ingin menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembukaan sektor ini supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini.
“Insya-Allah kerajaan akan sentiasa komited untuk mengambil pendekatan terbaik yang mampu menjamin pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” ujarnya. – SHARE RANGERS
