KUALA LUMPUR, 6 Sept – Pemandu lori yang merempuh lima buah kenderaan dalam sebuah kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh, Kuala Lumpur petang tadi didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komsioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu dipercayai berlaku selepas pemandu lori yang berusia 25 tahun itu gagal mengawal kenderaan sehingga merempuh laju kira-kira lima buah kenderaan lain.
“Siasatan awal mendapati, pemandu lori warga tempatan tersebut telah memandu dari arah Jalan Duta menghala ke Sentul sebelum gagal mengawal kenderaan dan merempuh laju lima kenderaan.
“Pemandu lori berkenaan telah merempuh kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat. Kelima-lima kenderaan terlibat adalah dua Perodua Myvi, Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208.
“Pemandu yang memandu Perodua Myvi berwarna kuning berusia 45 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
“Manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan parah dan kesemua mangsa telah mendapatkan rawatan dan dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Sarifuddin berkata, pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan untuk dibuat ujian alkohol.
Hasil daripada ujian awal mendapati lelaki terbabit tidak berada dalam pengaruh alkohol namun didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamin selepas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dangi untuk dibuat ujian saringan air kencing.
“Pemandu lori tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial menunjukkan sebuah lori merempuh dari arah belakang kira-kira lima buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh di sini hari ini – SHARE RANGERS

One reply on “Pemandu Lori Rempuh Lima Buah Kenderaan Didapati Positif Dadah”
[…] Pemandu Lori Rempuh Lima Buah Kenderaan Didapati Positif Dadah https://pegi.info/parental-controls […]
LikeLike