JITRA – Orang ramai yang mengunjungi sebuah restoran nasi kandar di Napoh di antara 13 hingga 24 Julai, diminta menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 dalam kadar segera di mana-mana klinik kesihatan berdekatan.Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa pengusaha restoran itu positif COVID-19 selepas menjalani saringan kedua, lika pekerja restoran terbabit turut didapati positif.
Didapati mereka yang positif wabak berkenaan itu adalah pekerja warganegara asing termasuk anak lelaki pengusaha premis itu yang kini dirawat di hospital. Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, restoran terbabit diarahkan tutup serta merta sejurus mendapati pemiliknya positif COVID-19 yang ditahan 23 Julai lalu..
Menurut beliau, pengusaha kedai makan terbabit didapati ingkar perintah kuarantin di rumah dan berada di kedai berkenaan yang dibuka kepada pelanggan antara 13 hingga 24 Julai lalu.
“Kita minta mereka yang makan dan mempunyai kontak rapat kepada pengusaha serta pekerja kedai untuk segera ke pejabat kesihatan daerah atau klinik kesihatan berdekatan menjalani ujian saringan, kita bimbang jika langkah ini tidak diambil segera, berkemungkinan ramai lagi dijangkiti COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita, kelmarin.
23 Julai lalu, polis telah menahan pengusaha restoran terbabit yang berusia 57 tahun atas kesalahan ingkar arahan kuarantin di rumah selepas pulang dari India, 13 Julai lalu.Lelaki itu ditahan di kedainya yang masih memakai gelang merah jambu menyebabkam dia dikompaun RM1,000 serta merta.
Tinjauan kami mendapati, lokasi restoran terbabit kelmarin ditutup sepenuhnya dan dipantau anggota polis selain orang ramai tidak dibenarkan menghampiri kawasan itu.Selain itu, notis arahan penutupan premis yang dikeluarkan KKM turut ditampal di restoran berkenaan – SHARE RANGERS
